BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 1 Disember 2009

Belia Disaran Tolak Politik Murahan

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib kesal dengan sikap golongan pembangkang yang sanggup merosakkan jiwa generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara akan datang, semata-mata untuk mengejar laba politik.

Beliau berkata, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja asalkan matlamat mereka untuk menjatuhkan integriti kerajaan tercapai, walaupun ia bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

Menurutnya, generasi muda perlu menolak trend politik murahan pakatan pembangkang yang suka memainkan dan memanipulasikan isu remeh-temeh untuk menjadi popular dan mencapai agenda politik sempit mereka.

“Generasi muda diminta berfikiran rasional dan berwaspada supaya tidak menjadi alat kepada pihak tertentu, termasuk pakatan pembangkang yang suka menyebar sentimen membenci kerajaan.

“Lakukan anjakan paradigma untuk bersama-sama kerajaan dalam menjayakan pelbagai agenda pembangunan nasional demi masa depan mereka sendiri dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Kualiti, Taklimat 1Belia 1Malaysia dan Jamuan Hari Raya Aidil Fitri Rakan Muda Peringkat Negeri, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBS Pahang, Nik Ismail Nik Harun dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Maran, Liew Poh Fong.

Ismail berkata, generasi muda harus kritis dengan menganalisis sesuatu isu terlebih dahulu sebelum membuat penilaian.

Menurutnya, itu supaya fakta yang digembar-gemburkan itu tepat dan tidak dimanipulasikan untuk tujuan politik yang mengancam kemakmuran dan kemajuan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan