BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 6 Oktober 2009

Rakan Muda Jerantut sasar 1,000 ahli tahun ini - Dipetik dari akhbar Sinar Harian



PEKAN DAMAK – Generasi muda 15 hingga 25 tahun digesa menyertai Kelab Rakan Muda Jerantut bagi membolehkan mereka menerima manfaat sepenuhnya ke arah melahirkan generasi bermaklumat yang membawa impak terbaik kepada komuniti. Pengerusi Kelab, Muhammad Faiz Mahayudin berkata, terbaru kelab ini berjaya menambah 150 ahli baru, dengan usaha kini dipergiat untuk terus menambah keahlian bagi mencapai sasaran 1,000 keahlian tahun ini. Menurutnya, penyertaan banyak diterima sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, manakala DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar akan digerakkan secara proaktif oleh ahli sedia ada untuk mempromosikan keahlian kelab. “Penyertaan bersama generasi muda untuk turut serta dalam kelab seumpama ini amat penting, untuk membolehkan golongan remaja dapat digerakkan secara bersama dengan komuniti setempat. “Contohnya, peranan terbesar ahli kelab adalah turut serta menjayakan Program 1Malaysia Komuniti Pekan Damak yang lalu, menyaksikan kerjasama mantap antara generasi muda dan kepimpinan setempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Muhd Faiz berkata, penyertaan amat dialu-alukan untuk membolehkan pengisian aktiviti dapat diterapkan kepada generasi muda, seterusnya menjadi landasan menjauhi gejala sosial. Beliau berkata, lapan komponen sedia dijayakan ahli kelab di bawah Rakan Muda ialah Rakan Kecergasan, Rakan Inovasi, Rakan Masyarakat, Rakan Cinta Alam, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Usaha, Rakan Jiran Muda, Rakan Muda Wawasan Desa dan Rakan Sukarelawan. Hanya menerusi penyertaan dalam kelab membolehkan generasi muda dapat bersatu padu menonjolkan bakat masing-masing dalam lapan komponen yang ada, dengan rakan sukarelawan adalah paling banyak dijayakan. Untuk menjadi generasi proaktif dan berdaya saing, penting bagi generasi muda menyertai kelab ini supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai dan segala nilai murni dapat diterapkan seterusnya melahirkan pelapis kepimpinan terbaik selaras dimahukan kerajaan, katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan