BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 7 Oktober 2009

Program Bersama Tengku Muda Pahang


ULU CHEKA – Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah hadir bersama Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latif mencemar duli untuk bersama rakyat memeriahkan Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak di sini kelmarin.

Program dimulakan pada waktu dengan acara sukan rakyat bertempat di padang Sekolah Kebangsaan Pawang Nong, yang turut diserta penyanyi terkenal Hattan.

Tengku Abdul Rahman berkata, sukan rakyat yang diadakan di setiap kampung perlu diteruskan sebagai medium mengeratkan hubungan dan cabang riadah serta hiburan bersama yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Menurutnya, ia juga akan menjadi platform meningkatkan tahap kerjasama dengan lebih baik.

“Apa yang dilihat hari ini menunjukkan muafakat dan perpaduan masih erat dalam kalangan penduduk, yang mana penyertaan bersama ini perlu diteruskan sepanjang masa kerana pelbagai nilai murni terkandung di dalamnya.

“Saya gembira dapat beriadah dan bersukan dengan rakyat dengan semuanya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, mesra dan memberikan kerjasama terbaik,” katanya ketika berucap di sini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Ismail Mohd Ali berkata, kesudian Tengku Muda bersama Cik Puan Muda Pahang mencemar duli memeriahkan majlis diadakan amatlah dihargai seluruh rakyat daerah ini.

Menurutnya, keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan pasangan diraja itu benar-benar menambat hati rakyat yang membuatkan mereka dekat dengan rakyat.

“Pastinya kunjungan mereka ke sini memberikan pengalaman berharga kepada rakyat, dan menggembirakan selain mengeratkan lagi hubungan dan semangat perpaduan.

“Diharapkan juga kunjungan dan kesempatan mendekati rakyat yang diluang�kan��nya dapat memberikan semangat dan dorongan untuk rakyat terus menjaga dan menghargai segala nikmat kemakmuran dan kesenangan yang dikecapi kini,” katanya.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Ahli Parlimen Jerantut, Tengku Datuk Seri Azlan Sultan Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee; ADUN Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan